Bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di daerah Rompin dekat sini hari ini kembali mencatat tahap tertinggi di negeri ini apabila meningkat kepada 178 iaitu tahap tidak sihat selepas turun kepada 83 (sederhana) semalam. IPU di daerah itu menunjukkan trend peningkatan bermula pukul 3 pagi ini dengan bacaan 107 sebelum meningkat kepada 178 pada pukul 3 petang ini. Daerah Temerloh pula merekodkan tahap bacaan IPU kedua tertinggi di negeri ini iaitu 111 (tidak sihat) pada pukul 3 petang. Tinjauan Utusan Online di sekitar bandar ini mendapati, suhu agak panas dengan jarak pemandangan yang agak terhad. Bagaimanapun, orang ramai dilihat masih melakukan aktiviti seperti biasa dan persekolahan masih diteruskan.
Seorang penduduk, Siti Nabilah Suhaimi, 28, berkata, keadaan jerebu di daerah itu yang tidak berapa teruk membolehkan penduduk
melakukan aktiviti seperti biasa. “Setakat ini keadaan jerebu masih tidak mengganggu aktiviti seharian dan anak saya pun ke sekolah seperti biasa tapi saya sentiasa memantau perkembangan ini untuk mengelak gangguan kesihatan,” ujarnya. Bacaan IPU antara 0 dan 50 dikategorikan sebagai baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 ke 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan 300 ke atas (bahaya).