Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) komited untuk terus memperkasakan sistem prasekolah. Usaha untuk menyelaras sistem prasekolah telah bermula dengan penubuhan jawatankuasa pasukan petugas khas yang bertanggungjawab memastikan kurikulum dan semua perkara berkaitan dapat diselaraskan dengan berkesan. Keciciran murid perlu ditangani seawal peringkat prasekolah. Justeru, KPM sentiasa berusaha memperluaskan prasekolah untuk memberi peluang kepada lebih ramai murid mendapatkan pendidikan awal yang berkualiti. Pada tahun 2023, peluasan kelas prasekolah baharu di seluruh negara adalah sebanyak 119, manakala pada tahun 2024, peluasan kelas adalah sebanyak 129. Pada waktu ini terdapat sejumlah 9909 kelas prasekolah KPM di seluruh negara yang memberi manfaat kepada lebih 200,000 orang murid. Semua murid prasekolah KPM mendapat faedah daripada inisiatif Bantuan Makanan Prasekolah (BMP) yang bertujuan untuk mengatasi isu malnutrisi dan kemiskinan multidimensi.
Sumber: https://www.facebook.com/photo/?fbid=790651123089998&set=a.227346989420417