SULTAN PAHANG RASMI TUKUN GERABAK LRT PERTAMA DI PULAU TIOMAN
 
Pulau Tioman menjadi pulau pertama di negara ini melabuhkan tukun tiruan gerabak sistem transit aliran ringan (LRT) yang diiktiraf oleh Malaysia Book of Records (MBOR) di bawah kategori bangunan dan struktur.
Majlis pelancaran MBOR: The First LRT Coach Reef in Malaysia disempurnakan oleh Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Berjaya Tioman Resort di Tioman, hari ini.
Turut berangkat Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah. Pada majlis itu, Al-Sultan Abdullah bertitah inisiatif yang dicetuskan oleh Yayasan Al-Sultan Abdullah (YASA) itu diharap dapat memberi impak positif kepada sektor pelancongan di pulau peranginan tersebut.
"Beta harap tukun ini akan sedikit sebanyak membawa tarikan kepada pengunjung khususnya mereka yang minat dalam bidang selaman.
"Beta harap (dengan) terbinanya tukun ini, ekosistem marin di sekeliling Pulau Tioman akan bertambah baik dan beta juga mengalu-alukan banyak lagi usaha untuk merehabilitasikan tukun yang sudah mati di pulau ini," titah baginda ketika merasmikan majlis berkenaan.