Pada mulanya pokok leban yang condong ke arah sungai itu hanya menjadi tempat berteduh untuk berehat bagi orang menaiki perahu di sungai Rompin dan juga sebagai penanda kawasan.
Apabila sudah menjadi kebiasaan dan sebutan oleh pengguna laluan sungai ketika itu, secara tidak langsung kawasan berteduh itu digelar Leban Chondong.
Sempena gelaran itu juga ia diambil sebagai nama kepada Kampung Leban Chondong yang kini sinonim dengan udang galah.
Tidak kira dalam bentuk hidangan yang dimasak atau segar, ia amat terkenal bagi kalangan pelancong atau warga tempatan yang turut menjadi lokasi memancing terutama pada hujung minggu atau cuti.
Bagi yang tidak tahu lokasi kampung ini, ia merupakan antara perkampungan terawal selepas memasuki sempadan daerah Rompin jika memandu dari arah Pekan.
Bagaimanapun, menurut seorang penduduk, Simaon Kasim, 66, kisah asal-usul nama kampung itu hanya sebuah cerita biasa dan tidak dapat dikesan sumbernya.
Dia turut menjelaskan bahawa Kampung Leban Chondong bukan sebuah kampung ‘tua’ kerana ada kampung lain sekitarnya yang lebih lama wujud seperti Kampung Menchali.
“Berdasarkan cerita pakar sejarah negeri ini, Kampung Leban Chondong mula wujud sekitar 1920-an iaitu bermula sebagai tempat persinggahan bagi laluan sungai orang nak ke hulu sungai.
“Orang yang singgah itu akan mengatakan mereka berada di leban condong apabila mahu menceritakan atau memberitahu lokasi mereka berada, maklumlah orang dahulu berperahu suka berhenti-henti,” katanya yang merupakan seorang pesara guru.
sal-usul etnik atau bangsa penduduk yang membuka kampung itu juga tidak dapat dipastikan kerana penduduk asalnya adalah rencam atau pelbagai.
Simaon berkata, ada penduduk berketurunan Riau, Pekan, Johor dan mereka itulah yang telah membentuk kawasan itu menjadi sebuah kampung yang kini terdiri daripada 300 keluarga.
“Penduduk asalnya tidaklah ramai seperti sekarang, ia mula ramai selepas era perang Jepun sekitar 1940-an,” katanya.
Menurutnya, faktor yang turut mempengaruhi pertambahan penduduk juga disebabkan operasi syarikat perlombongan di Bukit Ibam.
Katanya, Kampung Leban Chondong menjadi laluan landasan kereta api yang mengangkut pekerja dan bijih setiap hari ulang alik dari Bukit Ibam ke Kampung Pantai Bernas.
Sebagai mengenang asal-usul nama kampung itu, terdapat pokok leban ditanam berhampiran kedai makan Rehat dan Rawat (R&R) Leban Chondong yang selalu dipenuhi orang yang singgah untuk menjamu selera pelbagai masakan berasaskan udang galah.
Sumber: http://www.sinarharian.com.my/mobile/rencana/leban-chondong-asal-tempat-berteduh-1.734514